Selasa, 25 Ogos 2009

Apa akhirnya nasib bahasa Melayu?

Oleh : NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

TERTARIK membaca saranan Persatuan Penulis Perlis (3P) baru-baru ini supaya istilah bahasa Melayu digunakan semula menggantikan bahasa Malaysia. Perkara itu turut dibangkitkan oleh penulis apabila akhbar ini mahu terus-terusan menggunakan istilah bahasa Malaysia.

Ketika itu ada yang menyanggah - apalah ada pada istilah, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sama saja. Ada juga berpandangan tidak perlu dibangkitkan kerana kelak menambah kekeliruan dan kekalutan di kalangan pencinta bahasa.

Hakikatnya tidak semudah itu isu istilah bahasa Melayu harus dipinggirkan. Ia sangat penting lantaran menyentuh "harta" bangsa Melayu yang dijadikan tunggak dalam Perlembagaan negara.

Jelas disebut dalam Perkara 152(1) - Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan. Justeru tidak perlu dibangkitkan siapa atau kepentingan politik apa yang digunakan untuk mengubah istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

Hal ini kerana tuntutan asal penubuhan negara menggariskan hanya bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan - satu tuntutan yang amat kuat kesannya jika dilihat daripada pelbagai sudut.

Tetapi ia tidak lagi dipenuhi sekarang ini. Istilah bahasa Melayu tidak lagi ada kuasanya. Ia diganti dengan istilah bahasa Malaysia yang bersifat majmuk bagi menggambarkan bahasa yang diterima pakai secara meluas oleh rakyat.

Bahasa Melayu kononnya menjadi tidak sesuai dengan kerencaman bangsa di negara ini selain tidak seiringan dengan cita-cita mahu mewujudkan bangsa Malaysia yang selayaknya menggunakan bahasa Malaysia. Kononnya juga apabila disebut bahasa Malaysia, maka dunia luar akan menggambarkan satu bahasa yang digunakan oleh bangsa Malaysia sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Penduduk pelbagai kaum masih lekat dengan bahasa ibunda masing-masing. Lebih daripada itu, bahasa ibunda menjadi alat pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah jenis kebangsaan waima muridnya hanya lima orang.

Sedangkan menurut Perlembagaan, bahasa kaum-kaum lain sepatutnya hanya diajar di sekolah dan bukannya menjadi bahasa untuk mengajar. Teras segala-galanya masih bahasa Melayu. Namun bahasa Melayu yang mengaitkan kepentingan bangsanya sebagai pemilik asal negara ini tidak lagi memiliki nilainya.

Sepatutnya apabila disebut bahasa Melayu akan mengingatkan dunia luar bahawa nilai dan kepentingan bangsa Melayu dengan bumi Malaysia sehingga selayaknya bahasa itu dinobatkan sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan.

Namun perkembangan semasa tidak menunjukkan pengiktirafan sedemikian rupa. Di kala kaum-kaum lain berbangga kerana susur galur mereka masih dikaitkan dengan bahasa rasmi di sekolah, bahasa Melayu pula semakin luput dan tidak lagi menjadi lambang bangsanya.

Bahasa Malaysia yang kononnya diterima pakai secara rasmi dan meluas (biar pun Perlembagaan tidak dipinda untuk menghalalkannya) akan terus mengambil tempat bahasa Melayu.

Yang membimbangkan, bukan semua yang menggelar diri mereka bangsa Malaysia kelak mahu menggunakan bahasa Malaysia - hanya Melayu yang akan terus menggunakan bahasa Melayu itu.

Maka jadilah dan terbentuklah bangsa Melayu yang bahasanya adalah bahasa Malaysia manakala kaum lain terus bekerja keras mendaulatkan bahasa mereka termasuk dalam menetapkan kriteria untuk memilih pekerja di syarikat.Dan istilah bahasa Melayu hanya ada dalam Perlembagaan.

Ahad, 23 Ogos 2009

Kemerdekaan


Daripada Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Kemerdekaan ialah pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan.

Istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan
penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai "wilayah" yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera. Perkataan ini kekadang juga digunakan dalam erti kata yang lebih lemah untuk membezakan dengan hegemoni yang merupakan kawalan sebuah negara secara tak langsung oleh sebuah negara yang lebih kuat.

Kemerdekaan boleh merupakan taraf permulaan bagi sebuah negara muncul (sering kali untuk mengisi kekosongan politik), tetapi sering merupakan pembebasan daripada kuasa yang mendominasi kawasan itu. Dari segi negatif, kemerdekaan juga boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak dikuasai oleh kuasa yang lain melalui
penjajahan, dasar peluasan kuasa atau imperialisme.

Kemerdekaan boleh diperoleh melalui
penyahjajahan, pemisahan atau pembahagian. Walaupun ketiga-tiga ini sering berbetulan dengan kemerdekaan, ketiga-ketiga ini harus tidak dikelirukan dengan pemberontakan yang biasanya merujuk kepada penggulingan pihak berkuasa secara ganas. Ini kekadang hanya bertujuan untuk pengagihan semula kuasa — dengan atau tanpa unsur pembebasan seperti dalam kes pendemokrasian — di dalam sebuah negara dan oleh itu, bentuk negara itu tidak berubah. Umpamanya, Revolusi Oktober Rusia tidak bertujuan untuk memperoleh kemerdekaan negara; sebaliknya Perang Revolusi Amerika Syarikat bertujuan sedemikian.

Autonomi merujuk kepada sejenis kemerdekaan yang diberikan oleh pihak berkuasa yang pada dirinya masih mengekalkan kuasa muktamad terhadap wilayah itu (sila lihat penurunan kuasa). Negeri naungan merujuk kepada kawasan autonomi yang bergantung kepada kerajaan yang lebih besar untuk perlindungannya sebagai kawasan autonomi.

Sebuah negara yang ingin menuntut kemerdekaan daripada pihak berkuasa akan mengumumkan
pengisytiharan kemerdekaan, umpamanya Pengisytiharan Arbroath oleh Scotland yang merupakan contoh negara terawal yang masih wujud serta Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat pada tahun 1776 yang paling masyhur.

Terdapat banyak sebab mengapa sebuah negara atau wilayah hendak menuntut kemerdekaan. Kekecewaan terhadap pihak berkuasa merupakan alasan yang sering dikemukakan oleh gerakan-gerakan pengikut faham pemisahan, tetapi kesusahan
ekonomi biasanya adalah yang mencetuskan tindakan gerakan-gerakan ini. Cara untuk menuntut kemerdekaan berbeza-beza dari tunjuk perasaan yang aman ke perang saudara yang ganas.

Tarikh kemerdekaan (atau kekadangnya permulaan pemberontakan) biasanya dirayakan sebagai
hari kelepasan negara yang dikenali sebagai hari kemerdekaan.

(Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/kemerdekaan)

Sabtu, 22 Ogos 2009


Racun Sebuah Persahabatan

Teman...
andai bicara ini
bisa menerobos jiwamu
andai bicara ini
mengundang barah bagimu
andai bicara ini
bisa meracuni hatimu
andai bicara tatkala ini
menerkam segala kelukaanmu
pinta kemaafan daripadamu
kerana aku terlebih dahulu merasainya
dek kealfaan hati seorang sahabat...

Tanpa sedar kaucipta
barah yang maha dalam bagiku
dan selautan kelukaan
terus-terusan kaubiarkan
aku hanyut dek sikapmu
yang langsung tak mengenal
apa itu kesucian sebuah persahabatan
apa itu ketulusan jalinan perhubungan
apa itu keikhlasan seorang insan
yang bergelar sahabat...

Teman...
terima kasih atas segalanya
kau telah cukup mengajarku
tentang tawa ria
dan duka lara antara kita
tentang dunia yang tidak pernah
berhenti melukai penghuninya
yang di dalamnya nilai bagimu
hanyalah ilusi semata-mata
dan hipokrasi adalah duniamu...

Jumaat, 21 Ogos 2009

Feliz dia de Ramadhan...



RAMADHAN: BULAN RAHMAT, BERAMAL SOLEH DAN BERPUASA

Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. (The Risale-i Nur Collection, Letters, The Twenty-Ninth Letter).

Seperti yang diungkapkan Bediuzzaman Said Nursi kepada kita melalui kalimat yang indah ini, bulan Ramadhan mempunyai kuasa suci bagi perayaan umat Islam. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan Allah tidak akan mengabaikan kewajipannya untuk berpuasa sepanjang bulan ini dengan penuh semangat dan keghairahan.

Puasa, seperti yang diwajibkan Allah "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:

"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah)

Berpuasa menjadi peluang keemasan bagi orang beriman yang benar-benar takutkan Allah dan kesempatan dimanfaatkan untuk mendekatkan diri pada-Nya. Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah. Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqomah mencari keredhaan Allah akan meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain menunaikan yang diwajibkan.

Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan. Ini kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan mereka dengan menunaikan kewajipan ini. Dengan itu, secara tidak langsung bulan ini bermakna seseorang itu akan mendekati agamanya dan meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukannya.

Bulan ini juga sesungguhnya telah menurunkan kadar jenayah dengan peratusan yang tinggi di seluruh negara Islam. Penipuan, pengkhianatan, fitnah dan umpat mengumpat akan ditinggalkan kerana mereka menyedari akan larangan ketika berpuasa. Semangat dan keazaman mereka untuk berfikir dan melakukan perbuatan baik juga meningkat. Dalam erti kata lain, berpuasa seperti memandu mereka untuk berfikir sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di minda mereka. Bagi sesetengah individu pula, bulan ini digunakan untuk berehat sambil melakukan amal yang soleh dan perbuatan mulia.

Di dalam kalimat yang lain, Bediuzzaman Said Nursi menerangkan bagaimana semua pancaindera orang berpuasa beralih arah dalam pengabdian:

Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan organ seperti mata, telinga, hati, dan fikiran turut sama berpuasa bersama-sama perut. Dengan ini akan mengelakkannya dari melakukan perkara yang sia-sia dan mendorongnya melakukan amalan pengabdian.

Salah satu hikmah dari berpuasa ialah membolehkan seseorang itu menzahirkan kesyukuran di atas segala rahmat yang Allah limpahkan. Musibatlah bagi mereka yang menggunakan sewenangnya rahmat Allah tetapi tidak tahu untuk berterima kasih pada yang memberi. Bagi mereka semua rahmat ini merupakan hak yang memang patut diterimanya. Allah banyak menyarankan kepada hamba-Nya di dalam Al-Quran supaya sentiasa bersyukur di atas rahmat yang dikurna-Nya. Allah juga berjanji akan melipatgandakan rahmat bagi mereka yang bersyukur.

Orang yang berpuasa juga akan dilindungi Allah dari segala hasutan syaitan untuk melupakan manusia dari bersyukur. Mereka yang tidak pernah merenung untuk berfikir berapa banyak kurniaan yang telah Allah turunkan akan mula mengucapkan syukur berulang kali di atas segala peluang dan kesihatan yang dikecapinya. Bediuzzaman Said Nursi megatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah "kunci kepada kebenaran, keikhlasan, kemuncak dan kesejagatan syukur".

Tambahan pula, mereka yang berpuasa akan merasai betapa kerdilnya dirinya di hadapan Allah dan memahami betapa perlunya dirinya kepada Allah. Segala desakan nafsunya menjadi lemah dan kesombongannya bertukar luntur. Memetik dari buku Bediuzzaman Said Nursi:

Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang. Dari sekaya-kaya menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan, tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air.

Selain pelbagai faedah yang diperolehi dari berpuasa, kesabaran juga antara karakter yang boleh dipupuk dan meyakini kesengsaraan itu mendidik untuk memajukan seseorang. Sebab itulah Bediuzzaman Said Nursi mengatakan: "puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu". Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Semua ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika berhadapan dengan kelaparan ini.Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.


(Sumber: Diperolehi daripada http://www.harunyahya.com)

Selasa, 18 Ogos 2009

Keranamu Malaysia

Keranamu Malaysia,

Tegakkan nusa gagahkan bangsa,
Kita susun seribu satu langkah menuju ke hadapan,
Bersama mensesah pekat malam menerjah gelombang,
Berlari mengejar cahaya menepati janji di hujung jalan,
Walau berdepan sejuta rintangan,
Sekali pun jatuh di medan perjuangan,
Namun tetap meredah mencapai wawasan,
Alangkah damainya negeriku ini,
Dilimpahi rahmat kemakmuran dikurniai,
Bangsa bersatu berjiwa waja,
Semangat patriotik kian membara,
Dunia sudah membuka mata,
Penghormatan kini menjadi nyata,
Tiada lagi penindasan,
Tiada lagi penghinaan,
Kemerdekaan terus terpelihara,
Damainya negeriku. . . . Malaysia.
Siapakah lagi?

Siapakah lagi
Yang akan mendaulatkan bahasa Melayu
Di buminya sendiri, bumi tercinta ini
Atau hanya teori dalam Perlembagaan Negeri
Dan bukan untuk amali


Siapakah lagi
Yang akan memberi nilai ekonomi
Kepada bahasa milik peribumi

Siapakah lagi
Akan mengajar segala ilmu
Sastera, sains dan teknologi
Dalam bahasa sendiri

Siapakah lagi
Yang sehingga kini masih meragui
Bahasa Melayu
Melainkan bangsanya sendiri
Yang lemah harga diri...


Oleh:
Kamal Shukri Abdullah Sani
-14 September 2002-