Khamis, 1 Oktober 2009

Konsep dalam Morfologi

1.0 PENGENALAN

Menurut Frank Parker dalam bukunya, Linguistics For Non-Linguists, First Edition yang diterjemah oleh Raja Rahawani Raja Mamat, morfologi merupakan suatu bidang pengkajian yang mengkaji pembentukan kata. Beliau menyatakan “morphology” itu berasal daripada bahasa Latin “morphe” yang membawa maksud bentuk. Abdullah Hassan dalam buku Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu pula mentakrifkan morfologi sebagai bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan dibina, iaitu kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses membentuk perkataan dan bentuk-bentuk perkataan yang dihasilkan (Abdullah Hassan, 2005: 117). Dapatlah disimpulkan di sini bahawa ilmu morfologi ini merupakan bidang linguistik yang mengkaji struktur binaan kata, bentuk kata dan golongan kata. Dalam bidang ini, morfem dan kata ialah unsur utama yang dikaji dalam proses pembentukan kata.

Pengkajian dalam ilmu morfologi ini dapat dilihat sekurang-kurangnya dalam tradisi barat yang disusuli kembali sejak zaman Franz Bopp, seorang tokoh berbangsa Jerman. Beliau telah menghasilkan penulisan berkenaan dengan jenis akhiran pertuturan beberapa bahasa serumpun, termasuklah bahasa Jermanik yang diterbitkan pada tahun 1816. Kajian dalam bidang ini telah dibayangi oleh pengkajian dalam bidang fonologi dan sintaksis pada abad ke-20. Untuk memudahkan kita menguasai bidang morfologi ini, beberapa konsep penting dalam bidang ini haruslah difahami terlebih dahulu.

2.0 KONSEP-KONSEP DALAM MORFOLOGI

2.1 Morf

2.1.1 Abdullah Hassan (2005: 120) dalam bukunya yang bertajuk Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu menyatakan setiap bentuk fonologi yang berlainan sebagai morf. Beliau memberikan contoh morfem {meN-} yang mempunyai enam morf. Setiap morf itu diwakili dengan satu lambang, iaitu meN-.
2.1.2 Jwuan Verhaan (2005) dalam bukunya, Pengantar Linguistik menyatakan morf sebagai salah satu bentuk alomorfemis dari suatu morfem, tetapi bentuk yang hendak dipilih dianggap mewakili secara konkrit morfem yang bersangkutan.
2.1.3 G. David Morley (2000) dalam Syntax In Functional Grammar pula menjelaskan morf sebagai “the unit of grammatical form which realizes a morpheme”.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa morf itu ialah unsur yang mewakili morfem yang bersangkutan dan mempunyai bentuk fonologi yang berlainan. Morf ini diberi satu lambang bagi mewakili morfem yang bersangkutan itu. Misalnya meN- yang melambangkan me-, men-, mem-, meng-, menge- dan menye-.

2.2 Alomorf

2.2.1 Dalam buku Tatabahasa Dewan Jilid 2: Perkataan, Nik Safiah Karim ada menyenaraikan enam alomorf bagi awalan peN-, iaitu pe-, pem-, pen-, peng-, penge- dan pel-. Menurut beliau, penyebaran alomorf-alomorf tersebut ditentukan oleh faktor fonologi, iaitu jenis huruf pertama yang bercantum dengan awalan tersebut serta faktor perkembangan dan perancangan bahasa.
2.2.2 Jos Daniel Parera (1994) dalam buku Morfologi Bahasa Edisi Kedua pula menyatakan bahawa setiap perwakilan daripada sebuah morfem tertentu disebut alomorf. Beliau juga berpendapat bahawa alomorf ialah nama untuk bentuk-bentuk perwakilan daripada sebuah morfem berdasarkan linkungannya. Beliau ada memberikan contoh me-…-kan, mem-…-kan dan men-…-kan sebagai alomorf daripada morfem yang sama.
2.2.3 G. David Morley (2000) dalam Syntax In Functional Grammar turut menjelaskan alomorf itu sebagai “the variant possible morph of the one morpheme”.

Berdasarkan ketiga-tiga hujah tersebut, alomorf ialah bentuk yang berlainan daripada satu morfem yang sama akibat daripada pengaruh bunyi awal kata dasar yang menerima imbuhan awalan. Misalnya alomorf penye- digunakan sebelum huruf s pada awalan kata dasar seperti semak menjadi menyemak dan alomorf pem- pula hadir pada kata dasar yang bermula dengan huruf p, b, f dan v.

2.3 Arkifonem

2.3.1 Dalam buku Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, Abdullah Hassan (2005) menyatakan arkifonem itu sebagai fonem yang melambangkan beberapa fonem seperti N dalam morfem {meN-}. N ini berubah menjadi m, n, ny, ng dan nge apabila morfem tersebut bercantum dengan kata dasar berdasarkan huruf pangkal pada kata dasar tersebut dan N mewakili fonem-fonem tersebut.
2.3.2 Menurut Anton M. Moeliano (1996) dalam bukunya Bahasawan Cendekia: Seuntai Kata Untuk Anton M. Moeliana, arkifonem ialah unsur segmental dalam posisi lemah yang berbeza dan ciri pembedanya bersesuaian dengan pertalian daripada dua unsur.
2.3.3 P.H Matthew (1997) dalam Oxford Concise Dictionary Of Linguistics menjelaskan arkifonem sebagai “phonological unit characterized by the distinctive features which are common two or more”.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa arkifonem ialah fonem yang ditandakan dengan huruf besar bagi mewakili unsur yang berubah-ubah dalam morfem yang sama akibat daripada pengaruh huruf pangkal pada kata dasar berdasarkan lingkungannya. Huruf besar digunakan bagi mewakili arkifonem. Misalnya kata jual dan baca yang menerima morfem {meN-} menjadi menjual dan membaca. N ini ialah arkifonem yang mewakili fonem-fonem tersebut.

2.4 Morfofonem

2.4.1 Pitsamai Intrachat (1987: 29) menjelaskan fonem-fonem yang berlainan yang diubah daripada arkifonem disebut morfofonem kerana fonem-fonem itu adalah fonem-fonem ubahan daripada arkifonem dalam satu morfem. Beliau memberikan contoh arkifonem N dalam morfem {meN-} boleh diubah menjadi /φ/, /n/, /m/, /ɲ/ dan /ŋ/ bergantung pada lingkungannya.
2.4.2 Jos Daniel Parera (1994) dalam Morfologi Bahasa Edisi Kedua pula berpendapat morfofonem ialah fonem-fonem yang berlainan yang diubah daripada arkifonem.
2.4.3 Pendapat ketiga pula diutarakan oleh P.H Matthew (1997) dalam Oxford Concise Dictionary Of Linguistics. Beliau menyatakan yang morfofonem ialah “…the basic unit recognized in a morphophonemic level of analysis. It is usually symbolized by the use of a capital letter within brace brackets”. Perkara utama yang dinyatakan oleh beliau ialah morfofonem itu sebagai unit asas dalam peringkat analisis morfofonemik.

Berdasarkan ketiga-tiga pendapat tersebut, morfofonem ini terjadi apabila morfem mengalami perubahan morfofonemik akibat daripada pengaruh huruf awal pada kata dasar yang menerima morfem terikat berbentuk imbuhan berdasarkan lingkungannya. Perubahan morfofonemik ini berlaku dengan mengubah arkifonem dalam morfem dan arkifonem ini adalah ciri morfofonem.

2.5 Morfem Bebas

2.5.1 Abdullah Hassan (2005: 120) dalam bukunya, Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu menjelaskan morfem bebas secara ringkas sebagai morfem yang boleh wujud bersendirian. Beliau ada memberikan contoh perkataan peluh yang boleh hadir secara bersendirian sebagai sebuah kata.
2.5.2 Jwuan Verhaan (2005) dalam buku Pengantar Linguistik pula menegaskan morfem bebas dapat berdiri sendiri, iaitu boleh terdapat sebagai satu kata. Misalnya dalam bahasa Indonesia, kata cinta, makan dan satu adalah morfem bebas.
2.5.3 Mark S. Letourneau (2001) dalam buku English Grammar mentakrifkan morfem bebas yang disebut “free morphemes” dalam bahasa Inggeris sebagai “…morphemes that can occur by themselves in a phrase or sentence”. Beliau memberi contoh perkataan “write” yang boleh berdiri sendiri dalam rangkai kata atau ayat.

Secara ringkasnya, tidak terdapat perbezaan yang ketara tentang morfem bebas berdasarkan pendapat yang diutarakan oleh mereka yang berlainan negara ini. Dapat dirumuskan di sini bahawa morfem bebas ialah morfem yang boleh berdiri sendiri dan difahami maksudnya tanpa kehadiran morfem lain. Misalnya perkataan murid, jual dan baik yang dapat berdiri sendiri dan difahami maknanya tanpa perlu menerima morfem lain untuk membolehkannya berfungsi sebagai kata.

2.6 Morfem Terikat

2.6.1 Abdullah Hassan (2005: 120) menegaskan morfem terikat mesti digunakan bersama sekurang-kurangnya satu morfem lain. Beliau memberikan contoh kata berpeluh daripada cantuman ber- dan peluh. Imbuhan awalan ber- ialah morfem terikat kerana ber- tidak boleh berdiri sendiri dan memerlukan suatu bentuk lain dalam penggunannya. Menurut Abdullah Hassan (2005) lagi, kata akar seperti kata anai juga merupakan morfem terikat. Kata anai ini tidak boleh wujud bersendirian jika tidak digandakan menjadi anai-anai.
2.6.2 Jwuan Verhaan (1995) turut menghuraikan morfem terikat sebagai morfem yang tidak terdapat sebagai kata tetapi selalu dirangkaikan dengan satu atau lebih morfem yang lain menjadi satu kata. Misalnya dalam bahasa Indonesia, ber- dalam bersatu dan memper- dalam mempersatu hanya merupakan bahagian kata dan morfem-morfem itu ialah morfem terikat.
2.6.3 Dalam bahasa Inggeris pula, morfem terikat yang dikenali sebagai “bound morphemes” dijelaskan oleh Mark S. Letourneau (2001) sebagai “…morphemes that cannot occur by themselves”. Beliau ada memberi contoh morfem terikat -s, -er dan -ing yang perlu hadir bersama dengan morfem lain bagi membolehkan morfem jenis ini membentuk kata seperti dalam kata “writes”, “writer” dan “writing”.

Secara ringkasnya, morfem terikat ialah morfem yang tidak boleh wujud bersendirian tanpa kehadiran morfem lain. Morfem terikat ini terdiri daripada imbuhan dan kata akar. Kata akar seperti tapa, tari dan rama memerlukan unsur dan morfem lain bagi melengkapkan maknanya, contohnya kata akar tapa perlu menerima imbuhan seperti ber- menjadi bertapa bagi menunjukkan perbuatan.

2.7 Kata Akar

2.7.1 Berdasarkan pendapat Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1997) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata akar ialah bentuk morfem terikat yang bukan imbuhan. Mereka turut menggolongkan kata akar ini sebagai segelintir daripada kata dasar seperti kata akar tapa yang menjadi dasar bagi perkataan pertapaan dan nyala dalam perkataan nyalaan.
2.7.2 Pendapat kedua pula dikemukakan oleh Pitsamai Intrachat (1987) dalam bukunya, Sintaksis Predikat Dalam Bahasa Malaysia. Beliau menyatakan kata akar ialah morfem terikat yang tidak boleh berdiri sendiri, misalnya tari yang perlu digabungkan dengan morfem lain seperti pe- menjadi penari.
2.7.3 Menurut teori Ferdinand De Saussure (1991: 24) dalam buku Linguistic Theory The Discourse Of Fundamental Works, kata akar disebut sebagai “the root (racine) is the irreducible element common to all words of same family – the element in which the meaning common to all related words reaches the highest degree of abstraction and generality”. Perkara utama yang disentuh di sini ialah kata akar tidak boleh dikurangkan atau dipisahkan lagi kepada bentuk yang lebih kecil.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa kata akar ialah morfem terikat yang bukan daripada bentuk imbuhan. Kata akar tidak boleh berdiri sendiri kerana memerlukan morfem lain bagi melengkapkan maknanya, contohnya kata akar rama dan juang. Kata akar rama perlu digandakan menjadi rama-rama dan juang ditambah dengan perkataan semangat juang bagi melengkapkan maknanya.

2.8 Kata Dasar

2.8.1 Menurut Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1997: 69) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata dasar ialah bentuk morfem bebas yang dapat menerima imbuhan. Mereka menyatakan kata dasar ini turut terdiri daripada morfem terikat yang bukan imbuhan, iaitu kata akar. Contohnya perkataan bernyala dan pekebun. Kata dasar bagi bernyala ialah nyala yang merupakan kata akar, manakala kata dasar bagi pekebun ialah kebun yang merupakan morfem bebas.
2.8.3 Ch. A. Van Ophuijsen (1983) dalaItalicm buku Tatabahasa Melayu yang diterjemah oleh T.W Kamil daripada buku yang berjudul Maleiche Spraakkunst juga mentakrifkan kata dasar sebagai kata yang menurut peraturan bahasa yang berlaku sekarang, tidak dapat dipulangkan kepada bentuk yang lebih sederhana. Beliau menambah lagi kata dasar Melayu yang bersuku kata tunggal terdapat sedikit sahaja seperti kata mas, wang, moe dan koe.
2.8.4 Konsep kata dasar ini turut dijelaskan oleh Ferdinand De Saussure (1991: 24) dalam Linguistic Theory The Discourse Of Fundamental Works. Beliau menyatakan “The radical is generally the common element in a series of related words and conveys the idea common to every word”. Daripada pendapat beliau ini, dapat dibuat kesimpulan bahawa kata dasar merupakan bentuk atau unsur utama yang menjadi dasar dalam kata dan membawa idea untuk setiap kata.

Secara ringkasnya, kata dasar ialah kata yang terdiri daripada morfem bebas dan morfem terikat yang bukan imbuhan, iaitu kata akar. Kata dasar ini merupakan kata yang menjadi idea utama dalam setiap kata dan tidak boleh dipulangkan dalam bentuk yang lebih kecil lagi. Misalnya kata jalan ialah kata dasar bagi berjalan yang merupakan idea utama dalam kata tersebut dan tidak boleh dipisahkan menjadi ja dan lan kerana tidak lagi berfungsi sebagai kata.

2.9 Kata Tunggal

2.9.1 Konsep kata tunggal ada dijelaskan oleh Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1997) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Mereka mentakrifkan kata tunggal sebagai bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk dasar, yakni yang tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar yang lain. Kata tunggal ini terbahagi kepada dua jenis. Pertama, kata tunggal yang merupakan unit bebas dan boleh berdiri sendiri sebagai satu ayat seperti kata itu, pergi dan saya. Kedua, kata tunggal yang merupakan jenis kata tugas seperti di, untuk dan yang.
2.9.2 Menurut Drs. Zainuddin (1992) dalam buku Materi Pokok Bahasa dan Sastra Indonesia pula, kata tunggal ialah bentuk kata yang belum mendapatkan tambahan, belum diberi imbuhan atau belum mengalami perubahan bentuk. Beliau memberi contoh perkataan mandi, pergi, tulis dan baca yang tidak menerima sebarang perubahan atau tambahan unsur-unsur lain.
2.9.3 R.L Trask menyebut kata tunggal sebagai “singular word”, iaitu “In a language with the grammatical category of number, that form of a word (most often a noun) which is tipically used to talk about a single object such as dog, tree and idea”.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa kata tunggal ialah kata yang tidak menerima sebarang bentuk imbuhan dan perubahan bentuk. Kata tunggal ini berpotensi mengalami perubahan bentuk melalui proses pengimbuhan (pelajar dan makanan), penggandaan (baik-baik dan gunung-ganang) dan pemajmukan (warganegara dan atur cara). Kata tunggal boleh dibahagikan kepada empat golongan kata, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Kata tunggal boleh terdiri daripada satu suku kata seperti tin, sen serta lap dan dua suku kata atau lebih seperti doa, suara serta masyarakat.

3.0 PENUTUP

Tuntasnya, setiap konsep dalam ilmu morfologi haruslah difahami agar kita dapat menguasai bidang ini dengan sepenuhnya. Kefahaman terhadap konsep-konsep yang telah diketengahkan ini, iaitu morf, alomorf, arkifonem, morfofonem, morfem bebas, morfem terikat, kata akar, kata dasar dan kata tunggal amat penting untuk kita dalam mengkaji pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Walaupun terdapat sedikit perbezaan pandangan dan hujah daripada pihak yang berlainan, tetapi sebenarnya perbezaan pendapat ini amat membantu kita untuk lebih memahami dan menguasai bidang morfologi ini. Perbezaan pandangan yang diutarakan ini akan membantu kita supaya berfikiran lebih kritis dalam memahami setiap konsep tersebut dan bukannya hanya bergantung pada satu-satu hujah sahaja.

Secara keseluruhannya, aspek penting dalam pengkajian tentang struktur pembinaan kata ini ialah morfem dan kata. Bidang morfologi ini amat penting kerana menjadi asas pada bidang sintaksis dalam ilmu linguistik. Setiap konsep yang terdapat dalam bidang ini seharusnya diteliti dan difahami oleh setiap orang, bukan hanya perlu dikuasai oleh ahli linguistik atau ahli bahasa sahaja. Setiap daripada kita mempunyai bahasa, justeru amatlah perlu bagi kita memahami setiap perkara yang melambangkan bahasa kita. Salah satunya ialah ilmu morfologi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan