Khamis, 1 Oktober 2009

Promosi Bahasa Melayu Menerusi Sastera dan Budaya


Oleh: HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 28 Sept. - Bagi memperluaskan penggunaan bahasa Melayu (BM) di luar negara, kerajaan disaran mempromosikan bahasa kebangsaan itu menerusi karya sastera dan budaya.

Pensyarah di Jabatan Bahasa Asia dan Eropah, Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Dr. Victor A. Pogadaev memberitahu, masyarakat di luar negara terutamanya Eropah sangat meminati sastera dan budaya sesebuah negara.

Beliau yang berasal dari Rusia berkata, kesempatan tersebut harus direbut oleh pihak yang berkenaan untuk meluaskan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa sekali gus menjadikannya bahasa dunia.

"Jadi, ambil kesempatan ini untuk mengajar bahasa Melayu kepada mereka. Dengan ini, bahasa Melayu akan menjadi salah satu bahasa dunia," katanya ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Turut serta ialah penceramah bahasa Melayu, Prof. Wu Zongyu (China) dan Kyoko Funada (Jepun).

Victor yang fasih berbahasa Melayu merupakan salah seorang daripada 300 peserta persidangan yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini.

Menurutnya, sesebuah negara itu perlu popular di kalangan rakyat negara luar terlebih dahulu sebelum mempromosikan bahasanya.

"Pada masa ini semua orang di dunia mengenali Malaysia dan ia adalah satu 'bonus' untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dunia," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan